Freehold VS Leasehold yang mana terbaik


Freehold VS Leasehold yang mana terbaik


Ini antara soalan paling popular yang sering ditanyakan oleh bakal-bakal pembeli hartanah. Sejauh manakah pentingnya status pegangan hartanah (freehold atau leasehold) memainkan peranan dalam menentukan kesesuaian satu-satu hartanah semasa membuat pembelian?
Pokok pangkal keputusan anda semasa membuat plihan bakal berkisar kepada matlamat asal pembelian. Tanya diri anda, adakah untuk tujuan pembelian hartanah ini kerana ingin dijadikan kediaman sendiri atau mahu disimpan sebagai satu bentuk instrumen pelaburan?
Seandainya bertujuan ingin didiami, maka faktor pegangan hartanah (freehold atau leasehold) tidak memainkan peranan besar dalam proses membuat keputusan. Selagi anda selesa dengan faktor-faktor lain seperti lokasi, spesifikasi dan harga, maka kurang penekanan yang perlu diberikan dalam memilih hartanah samada ianya freehold atau leasehold.
Sebaliknya jika objektif asal anda adalah untuk menjadikan pembelian ini sebagai satu medium pelaburan, maka status pegangan hartanah memainkan peranan yang sangat kritikal ketika membuat pertimbangan.
Realiti penting yang perlu anda hadam termasuklah:

Freehold Lebih Popular

Hartanah freehold selalunya lebih popular dan mendapat permintaan yang lebih tinggi berikutan kurangnya kuantiti unit hartanah freehold di pasaran berbanding dengan hartanah leasehold. Namun begitu, faktor lokasi juga memainkan peranan yang lebih besar berbanding status pegangan. Sekiranya lokasi itu memiliki permintaan yang tinggi, maka hartanah dengan status leasehold tetap menikmati kenaikan nilai yang senantiasa tinggi dan stabil saban tahun.

Freehold Tiada Kekangan

Hartanah freehold lebih senang dipindah milik. Secara amnya, tiada kekangan yang dikenakan dalam proses penukaran hak milik bagi hartanah freehold. Ini bererti pemilik bebas menjual kepada mana-mana individu tanpa perlu melihat kepada status pemilikan bumiputera.
Sebaliknya bagi hartanah leasehold, kebenaran pindahmilik tertakluk kepada kebenaran (consent) kerajaan negeri. Umumnya di Selangor, hartanah leasehold milik bumiputera tidak boleh dipindah milik kepada pembeli bukan bumiputera (syarat tersirat).

Leasehold Sukar Mendapat Pembiayaan

Hartanah leasehold yang berbaki tempoh pajakan di bawah 50 tahun sukar mendapat pembiayaan daripada bank. Jika anda ingin membeli hartanah dalam kes sebegini, minta pemilik asal memperbaharui premium pajakan kepada kerajaan negeri sebelum membuat pembelian.

Leasehold-Tempoh Pindah Milik Yang Lebih Lama

Tempoh pindah milik yang lebih lama diperlukan dalam kes penjualan hartanah leasehold. Ini terjadi kerana hartanah leasehold memerlukan kebenaran (consent) daripada kerajaan negeri untuk dipindah milik. Keseluruhan proses boleh mengambil masa di antara 6 bulan hingga kesetahun bergantung kepada jumlah aplikasi yang diuruskan oleh kerajaan negeri.
Kesannya, anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama sebelum berpeluang pindah ke rumah baru berbanding pembeli yang memilih untuk membeli hartanah berstatus pegangan freehold.
Kesimpulannya, walaupun kriteria pegangan hartanah freehold atau leasehold memberi impak yang signifikan dalam menentukan kesesuaian jual beli sesebuah hartanah namun ada faktor-faktor lain yang turut perlu diperhalusi dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Sebagai pembeli, anda perlu mengetahui kelebihan dan kekurangan hartanah yang bakal anda beli dengan mengambil kira segala isu dan proses yang terlibat dan lakukan penilaian secara teliti dan tuntas.